Wednesday, April 8, 2009

Menteri angkat sumpah Jumaat

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan senarai barisan kabinet barunya petang esok.

najib on subprime crisis 300908Beliau dijadual membuat pengumuman tersebut pada jam 3 petang di Jabatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Najib dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara jam 11 pagi untuk mendapat perkenan baginda terhadap senarai kabinetnya.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, para menteri dan timbalan menteri akan mengangkat sumpah taat setia dan menyimpan rahsia di Istana Negara, Jumaat ini.

Majlis tersebut akan diadakan pada jam 9.30 pagi dan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Najib dijangka selesai menemui kesemua ketua-ketua parti komponan BN hari ini untuk memuktamadkan senarai anggota kabinet.

Monday, April 6, 2009

Osman Jailu diejek 'pengkhianat'

1.17pm ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu mendakwa beliau mendapat ejekan daripada penyokong PAS dengan gelaran "pengkhianat" dan "lompat" apabila bekas wakil rakyat PKR itu tiba untuk membuang undi di SK Changkat Jering jam 10 pagi tadi.

Bekas exco kerajaan Perak yang kini ADUN bebas memberitahu Malaysiakini, bagaimanapun penyokong PKR hanya diam sahaja.

Beliau keluar dari tempat pengundian kira-kira jam 12. Tiada kekasaran fizikal dilakukan terhadapnya.

1.02pm Kesesakan teruk di jalan-jalan utama yang menempatkan pusat-pusat pembuangan undi di parlimen Bukit Gantang.

Hujan yang mulai turun dijangka menambahkan lagi kesulitan orang ramai yang ingin keluar membuang undi.

12.40pm Sumber-sumber PAS dan PKR mendakwa gas pemedih mata dilepaskan di SMK Pengkalan Aur dalam DUN Changkat Jering, Bukit Gantang susulan kekecohan antara penyokong BN dengan pembangkang.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan ini, setakat ini.

Ketua polis daerah Taiping, ACP Raja Musa Raja Razak berkata beliau tidak mendapat maklumat itu dan akan menyemak perkembangan tersebut.

Tambahnya, semua pusat pembuangan undi berjalan lancar kecuali kesesakan lalulintas di banyak kawasan.

12.08pm Walaupun tiada sebarang kekecohan di SMK Aman Jaya di di Bukit Selambau, kira-kira 30 anggota polis termasuk 10 anggota unit pencegah rusuhan mengawal keadaan.

Sementara di pusat pembuangan undi di SMK Pengkalan Aur dalam parlimen Bukit Gantang, lebih 35 peratus telah memilih calon masing-masing. Seramai 2,305 pemilih berdaftar di situ.

12.05pm Di DUN Bukit Selambau: Cif Inspektor Mohammad Shofee Tayib dari ibu pejabat polis daerah Kuala Muda mengesahkan bahawa sebuah bas yang disyaki membawa "pengundi hantu" telah ditahan oleh penyokong pembangkang di Gurun, kira-kira 20 km dari Sungai Petani.

Katanya, bas tersebut ditahan pada kira-kira jam 10 pagi dan kini berada di balai polis Gurun. Bagaimanapun, tambahnya, pihak polis tidak pasti sama ada penumpang bas itu penyokong atau pengundi.

Pihak polis sedang menyemak status mereka dengan senarai pengundi.

11.50am Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata 40 peratus telah keluar mengundi di Bukit Selambau dan angka itu dijangka mencecah 50 peratus pada jam 1 tengahari.

11.46am Batang Ai Penulis blog Lina Soo melaporkan SPR memutuskan untuk membawa 14 daripada 26 peti undi melalui udara dan sungai ke pusat penjumlahan undi.

Ejen tempat mengundi calon-calon yang bertanding tidak dibenarkan mengawasi peti-peti undi ini sewaktu ia diangkut.

Pemantau pilihanraya Mafrel berkata tindakan ini boleh membuka peluang berlakunya penyelewengan, sama ada peti undi hilang atau ditukarkan.

11.45am Cuaca di DUN Batang Ai terang. Di pusat pembuangan undi Mepi, dekat kawasan penempatan semula di empangan Batang Ai, kira-kira 290 daripada 437 pengundi (66 peratus) telah membuang undi jam 11 pagi.

Pusat ini akan ditutup jam 2 petang.

11.42am Menurut perangkaan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga jam 10 pagi tadi, 17.7 peratus atau 9,849 pengundi di Bukit Gantang telah keluar membuat pilihan.

Sementara 21.92 peratus (7,700) pengundi DUN Bukit Selambau dan 32.41 peratus (2,581 orang) di DUN Batang Ai telah membuang undi.

Setakat jam 11 pagi, 32 peratus pengundi DUN Bukit Selambau telah berbuat demikian. Tiada maklumat terbaru di dua kawasan pilihanraya lain.

bukit gantang election polling day trong 070409 0311.38am Masih ramai pengundi muda di DUN Bukit Selambau belum keluar membuang undi. Setakat ini, hanya 20 peratus berbuat demikian setakat jam 11 pagi, kata seorang ADUN PKR Sim Tze Tzin.

Wakil rakyat Pantai Jerejak, yang kini berada di kawasan pilihanraya tersebut, berkata PKR akan cuba mengajak lebih ramai pengundi muda - dipercayai cenderung menyokong parti itu - sewaktu makan tengah hari ini.

11.20am Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin kata jumlah pengundi yang keluar mengundi di pusat pengundian SJKC Simpang di Bukit Gantang mencecahkan 50 peratus selepas dua jam setengah pengundian berjalan.

Di SMK Taman Ria Jaya, Bukit Selambau, 32 peratus daripada 5,122 pengundi sudah keluar mengundi sehingga jam 11 pagi tadi, kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

11.00am Penyokong BN dan PAS hampir bergaduh jika anggota polis pencegah rusuhan FRU lambat bertindak di luar SK Ayer Putih di Bukit Gantang.

Penyokong BN didakwa menggoncangkan dan menendang kenderaan calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ingin melawat pusat pembuangan undi tersebut kira-kira jam 10 pagi tadi sehingga menghalangnya turun di situ.

Rasa tidak puas hati penyokong PAS mendorong mereka marah pada penyokong BN sehingga mencetuskan suasana tegang.

bukit selambau election day 070409 02Beberapa puluh anggota FRU berjaya menyelamatkan keadaan dengan memisahkan dua kumpulan penyokong parti-parti tersebut.

10.22am Penyokong BN dan PKR bertengkar di luar SJK (Tamil) Palanisamy Kumaran di DUN Bukit Selambau.

Menurut pemantau pilihanraya Mafrel, mereka tidak puas hati kerana lokasi khemah BN terletak di atas jalan tar manakala kemah PKR diletakkan di jalan yang kotor.

Beberapa anggota PKR masuk ke kemah BN dan bertengkar dengan anggota BN di situ. Polis cuba meleraikan mereka dan mengawasi keadaan.

10.18am Pemantau bebas pilihanraya Mafrel melaporkan, tiada garisan kuning Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menandakan kawasan larangan 50 meter di luar SMK Aman Jaya, dalam DUN Bukit Selambau.

nazar at voting center bukit gantang 07040910.15am Calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meninggalkan SK Changkat Jering di Bukit Gantang bersama beberapa penyokong untuk merayu undi dan bertemu petugas di tempat-tempat pembuangan undi yang lain.

Penyokongnya melaungkan "Hidup Nizar, Hancur Umno", sementara penyokong BN menjerit "penderhaka" sewaktu bekas menteri besar itu berjalan ke keretanya.

Menyifatkan peluangnya "cerah", Mohammad Nizar memberitahu Malaysiakini, "alhamdulillah, ada harapan besar."

10.01am Calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tiba di SK Changkat Jering di Bukit Gantang untuk merayu undi dan bertemu petugas parti. Beliau disambut dengan jeritan "boo" daripada penyokong BN.

10.01am Pemantau bebas pilihanraya Mafrel mendakwa kertas undi yang besar dalam DUN Bukit Selambau melambatkan proses membuang undi di SK Sungai Lalang (foto bawah, kanan).

bukit selambau by election 060409 ballot paperKertas itu dibuat bagi menampung kesemua 15 calon - termasuk 13 bebas - di kawasan pilihanraya kecil itu yang mencipta rekod calon teramai dalam sejarah Malaysia.

9.48am Kumpulan penyokong PAS di luar SK Changkat Jering, Bukit Gantang "Altantuya, Mongolia", penyokong BN diam.

Pondok PAS kedua-dua parti menarik jumlah pengundi yang sama besar.

9.35am Seorang penyokong PAS - yang memakai topeng mangsa bunuh Altantuya Shaariibuu - dikejar polis dekat SK Changkat Jering, Bukit Gantang. Lelaki itu melarikan diri dan gagal ditahan polis.

Kira-kira 300 penyokong PAS dan 100 BN saling jerit-menjerit melaungkan slogan. Kumpulan PAS melaungkan "Hancur BN, Hancur", manakala BN pula "PAS munafik."

ismail saffian voting bukit gantang 0704099.22am Cuaca di DUN Bukit Selambau baik, sementara di parlimen Bukit Gantang, mulai terang selepas hujan sebentar pagi ini.

9.15am Calon BN Ismail Saffian di Bukit Gantang menyifatkan pertandingan hari ini dengan calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin " persaingan sengit" tetapi yakin akan dapat mengalahkan bekas menteri besar itu dengan majoriti tipis.

Kemenangannya, kata Ismail, satu tanda sokongan terhadap kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak yang dilantik perdana menteri 3 April lalu.

Sementara para penyokong kedua-dua pihak terus melaungkan sokongan kepada calon dan parti masing-masing bagi merayu pengundi di saat-saat akhir.

9.05am Calon parlimen BN Ismail Saffian selesai membuang undi SK Datuk Panglima Gantang. Beliau disambut laungan "Hidup BN" sewaktu tiba di pusat pembuangan undi itu jam 8.55am.

voting BN in changkat jering 0704098.18am Calon PKR, S Manikumar membuang undi di SMK Taman Ria Jaya, Bukit Selambau. Beliau tiba di pusat pengundian pada jam 8.05 pagi.

Dengan menyifatkan pengundian itu "hari bersejarah", Manikumar yakin menang dengan majoriti lebih 2,000 undi.

Kelihatan kira-kira 100 beratur untuk mengundi di sekolah yang sama.

8.15am Pusat pengundian bagi pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai dibuka serentak jam 8 pagi ini.

Pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau menyaksikan pertembungan 15 calon - 13 calon bebas dengan calon BN, Datuk S Ganesan dan S Manikumar dari PKR.

voting in changkat jering 070409Di Bukit Gantang, pertandingan tiga penjuru antara calon BN Ismail Saffian, calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan calon bebas Kamarul Ramizu Idris.

Batang Ai pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon-calon BN Malcom Mussen Lamoh dan PKR Jawah Gerang.

Seramai 55,562 pemilih layak mengundi dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang, Bukit Selambau (35,140 pengundi) dan Batang Ai (8,009 pengundi).

Pengundi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau merupakan merupakan pengundi Melayu, diikuti India dan Cina.

Kebanyakan pusat pengundian dijadual ditutup jam 5 petang, dan keputusan pilihanraya dijangka diketahui seawal jam 9 malam.

Friday, March 20, 2009

Tuesday, February 17, 2009

Mufti sekadar dicerca, sedangkan ulama PAS dihumban ISA

KOTA BHARU, 18 Feb (Hrkh) - Kalau sebelum ini Dato' Seri Harussani Zakaria dihormati kerana ketegasan mempertahankan agama Islam, namun campurtangannya dalam krisis politik di Perak menyebabkan wibawanya mulai dipertikaikan.

Baru-baru ini Mufti Perak menyarankan masyarakat menghormati keputusan yang dibuat Sultan Perak berhubung krisis politik yang berlaku sekarang.
Ekoran itu timbul kencaman dalam blog kerana mufti disifatkan seperti menjadi alat kepada pihak tertentu.

Begitu juga di Kelantan pelbagai pihak mulai mempertikai tindak tanduk mufti terbabit yang disifatkan mereka seperti diperalatkan oleh pemimpin politik.
"Sepatutnya dalam keadaan krisis yang berlaku mufti menasihatkan supaya kembali kepada Islam bagi merungkai segala permasalahan bukannya cuba berpihak kepada orang tertentu.
"Namun apa yang berlaku mufti tidak duduk di tengah-tengah sebaliknya condong kepada penguasa yang boleh menjamin kedudukannya yang lebih selesa sebagai mufti," kata seorang pemimpin NGO di sini.

Menurutnya dalam isu yang berlaku di Perak baru-baru ini terdapat kesamaran dalam mentafsir undang-undang mengenai cara Menteri Besar hendak ditamatkan perkhidmatannya.
Dan katanya apabila berlaku kesamaran seperti itu mufti tidak sepatutnya membiarkan dirinya diperalatkan sehingga menyiarkan gambar dalam televisyen ditemui Dato' Dr Zambry Abdul Kadir yang baru diperkenan Sultan.

"Sedangkan kita sebagai orang berilmu perlu melihat lebih jauh, sahkah sebuah kerajaan dengan menculik wakil rakyat Pakatan Rakyat bagi membolehkan kerajaan baru Barisan Nasional dibentuk.
"Inilah moral sebenar yang sepatutnya diberi perhatian. Kalau seorang ulama yang disegani mengenepikan soal itu amat malang sekali bagi rakyat Perak," ujarnya.
Hari ini media melaporkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Hishamuddin Hussein meluahkan rasa kecewa apabila Mufti Perak menjadi bahan cercaan dan makian penyokong pembangkang di laman-laman web.

Mengulas isu tersebut seorang pemimpin masyarakat di sini berkata, apa yang berlaku terhadap Mufti Perak dipertikai orang ramai jauh lebih ringan berbanding apa dialami pemimpin PAS sehingga ramai ditahan di bawah ISA.

Katanya, ramai pemimpin PAS bukan sekadar dicerca kerana menegakkan ketuanan Islam sebaliknya dihumban kerajaan BN ke dalam ISA bertahun-tahun.
Antaranya Pak Nik Lah, Tok Guru Haji Yakub Berangan, Haji Omar Kubang Bemban, Haji Harun Repek, Haji Omar Tanah Merah dan ramai lagi.

"Tekanan yang dialami pemimpin PAS jauh lebih hebat berbanding dengan apa yang berlaku terhadap Mufti Perak sekarang.
"Cuma apa yang membezakan mufti dipertikaikan rakyat dan ulama PAS menjadi mangsa kerakusan kerajaan BN," katanya yang enggan mendedahkan identitinya.
Malah katanya, seorang wakil rakyat PAS yang kental memperjuangkan Islam, Samad Gul mati dibunuh.

Dan ketika gelombang penahanan ulama di bawah ISA, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat muncul dengan menyertai pilihan raya pada 1967.
Difahamkan juga orang ramai tidak senang dengan kelibat tokoh agama itu sejak kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Perak. - mj _

Friday, February 13, 2009

7 April p'raya di Bkt Gantang, Bkt Selambau

Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di Kedah akan diadakan serentak pada 7 April depan.Manakala tarikh penamaan calon pula - bagi kedua-dua kerusi tersebut - ditetapkan pada 29 Mac.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi tadi.
Ini bermakna kedua-dua pilihanraya kecil itu akan diadakan selepas perhimpunan agung Umno yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti terbesar orang Melayu itu.
Perhimpunan agung Umno dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS akibat diserang sakit jantung. Manakala V Arumugam daripada PKR meletak jawatan sebagai Adun Bukit Selambau.

Ini juga merupakan pilihanraya kecil pertama bagi Datuk Seri Najib Tun Razak seandainya peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan berjalan seperti yang dijangkakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menyerahkan kuasa kepada Najib sejurus selepas selesai perhimpunan agung Umno bulan depan.

Mengenai kerusi Bukit Selambau, Abdul Aziz berkata, beliau berpuashati dengan dokumen yang diberikan, yang menurutnya, sah dan asli dari Arumugam.
"Setelah kita berbincang, kita dapati tidak ada unsur-usnur keraguan," tambahnya.
Mengenai keputusan untuk mengadakan pilihanraya kecil serentak bagi kedua-dua kerusi berkenaan, Abdul Aziz berkata:

"Kita tidak mahu tempoh berkempen terlalu panjang. Apabila ini berlaku, macam macam isu akan keluar, mungkin timbul keresahan, mungkin akan mengancam keselamatan awam dan negara. Kita tidak mahu orang yang berkempen letih".Beliau juga berkata tarikh pilihanraya kecil tidak ada kena mengenai dengan perhimpunan Umno bulan depan.

"Keputusan ini dibuat supaya semua selesa," tambahnya.Menurutnya, tempat penaman calon bagi parlimen Bukit Gantang akan diadakan di dewan Majlis Perbandaran Taiping.
Manakala tempat penamaan calon bagi DUN Bukit Selambau pula di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani 1.

Wednesday, February 11, 2009

Kajian: 97 peratus rakyat Perak mahu DUN dibubarkan

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Hrkh) - Sebanyak 97 peratus rakyat Perak mahukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan iaitu sebagai cara terbaik mengatasi kemelut politik di negeri itu serta memberi peluang mereka 'meraikan' demokrasi.

Demikian hasil kajian yang dilakukan oleh Penganalis Politik dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah terhadap penduduk di negeri itu yang bermula di Pasir Salak sehingga ke Kuala Gula.

Abu Hassan menjelaskan, peratusan tersebut yang menunjukkan desakan rakyat Perak yang merupakan natijah gerakan massa rakyat yang merasa tertekan, penghidupan terganggu serta seluruh sistem ekonomi, politik dan sosial yang sudah punah.

"Bagi mereka, rakyat harus bangkit semula memperbetulkan keadaan bagi memberi peluang kepada rakyat memilih tokoh-tokoh politik yang mereka inginkan. Rakyat mengatakan bagi peluang kepada kedua-dua pihak. Jika rakyat memilih salah satu pihak, maka pihak itulah pilihan rakyat Perak. Kata mereka, sebagaimana sebuah acara kematian, begitulah acara demokrasi.

"Dun Perak sekarang ini dianggap sebagai telah 'mati'. Kedua-dua pihak mempunyai ruang dan juga tanggungjawab untuk mempertahankan apa keadaan sekalipun. Sebagaimana dilihat pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan, maka sekaligus SPR menggunakan ruang pilihan raya ini untuk mengadakan pilihan raya di seluruh negeri Perak dengan andaian kedudukan Dewan Undangan Negeri adalah tidak sah,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

Sementara itu beliau berkeyakinan kehadiran media baru yang dikenali sebagai 'kewartawanan sukarelawan' akan terus menjadi medium yang paling berpengaruh dan paling berpengaruh sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dun Selambau.
Jelasnya media tradisi seperti akhbar merupakan media yang sangat berpihak yang mana hanya bersifat satu sisi dan satu arah.

"Internet adalah media yang tidak berpihak berbanding akhbar. Jika Harakah ia akan melihat daripada sisi PAS, jika Suara KeADILan daripada sisi KeADILan, Utusan Malaysia dan Berita Harian akan melihat daripada sisi Barisan Nasional. Maka bagi rakyat tidak ada medium lain yang mempunyai pelbagai sisi dan tidak berpihak ialah media baru iaitu internet.

" Blog merupakan kewartawanan individu di mana mereka meluah perasaan individu sebagai ahli masyarakat bukan seperti sebuah akhbar yang mempunyai ramai pengarang. Jika ada 5,000 blog rakyat di Perak, mereka dapat membaca 5,000 blog daripada sisi orang Perak. Ini berbeza dengan media sekular yang satu arah," tegasnya.

Sehubungan itu beliau tidak meragui bahawa media baru ini akan menguasai aliran informasi sehingga ke skala 86 peratus yang akan menguasai dan membentuk pilihan raya di kedua-dua Dun dan Parlimen itu. - azm/mks. _