KOTA BHARU, 9 Jan (Hrkh) - Ribuan umat Islam di sini mengadakan demonstrasi secara aman membantah kekejaman rejim haram Yahudi terhadap penduduk Islam di Palestin.
Demonstrasi itu diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut sama disertai timbalannya, Dato' Ahmad Yakob; Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nasuruddin Daud; Timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim dan anggota Exco, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.Menteri Besar turut membakar replika patung George W Bush dan Presiden Israel, Shimon Peres serta bendera Amerika Syarikat dan Israel.
Sebelum itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan orang ramai memijak gambar kedua-dua pemimpin yang diletak di atas jalan.
Demonstrasi itu dianjurkan Dewan Pemuda PAS Kelantan dan Lajnah Kebajikan Badan Perhubungan PAS Negeri diadakan sebaik sahaja selesai kuliah mingguan Menteri Besar di Medan Ilmu.
Ribuan penduduk tempatan yang mengikuti kuliah sejak jam 8.30 pagi turut sama berdemonstrasi dengan melaungkan 'Allahuakbar, Hidup-Hidup Islam, Jahanam Israel dan Hancur Amerika.'
Demonstrasi itu merupakan kali kedua diadakan di Kelantan, minggu lepas pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra dan Akademi Islam Universiti Malaya berhimpun di perkarangan Masjid Kampung Laut di Nilam Puri.
Sebaik sahaja tamat kuliah pagi Jumaat, teriak Hidup Islam, jahanam Israel dan hancur Amerika mulai kedengaran. Orang ramai kecil, besar, tua dan muda bersemangat meneriakkan perkataan tersebut.
Kebencian orang ramai begitu membuak terhadap kekejaman Yahudi yang merantah tubuh-tubuh tidak berdosa di Palestin melalui serangan tidak berperikemannusiaan, dilancarkan tentera Israel sejak akhir Disember lalu.
Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat mempelawa rakyat negeri ini mendaftar diri untuk pergi ke Palestin bagi membantu rakyat negara tersebut.
Katanya, beliau dan Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad sudah mendaftar menyertai misi bantuan ke Palestin.
Mohd Zaki yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan berkata, semua umat Islam tidak kira di mana mereka berada perlu menyatakan bantahan terhadap kekejaman rejim Yahudi.
"Kita tidak boleh mengharapkan orang lain bagi membantu umat Islam di Palestin. Kita juga tidak boleh harapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Persidangan Negara Islam yang tidak mampu berbuat apa-apa lagi.
"Oleh itu umat Islam wajib membantu dengan sekadar yang mampu melalui sumbangan yang dihulurkan kepada tabung yang dilancarkan pada majlis ini," katanya.
Beliau juga mengajak orang ramai mulai sekarang memboikot produk keluaran Amerika Syarikat dan negara-negara yang bersekongkol dengan Yahudi Israel.
Pada himpunan itu dibaca qunut nazilah yang diketuai Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Bharu, Ustaz Mohd Baharuddin Mohd Noor.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, salah satu cara bagi mengajar Israel dan Amerika Syarikat jangan membeli produk keluaran negara terbabit.
"Kita usah lagi membeli pisang kaki yang ditanam orang Yahudi di bumi Palestin yang dirampas mereka. Produk itu ada dijual di Singapura dan negara ini. Kita juga jangan lagi menggunakan Dollar Amerika dan beralih kepada matawang Euro atau Yen, Jepun.
"Coca Cola jangan lagi kita minum, umat Islam di Selatan Thailand sudah lama memulau minuman keluaran Amerika itu," katanya.
Sementara itu, ribuan umat Islam mengerjakan solat hajat di Masjid Muhammadi selepas menunaikan solat Jumaat memohon keselamatan kepada umat Islam di Palestin.
Selepas itu mereka memijak gambar Bush dan Shimon beramai-ramai, yang diletak di pintu masjid masjid. - mj/mks. _